Thursday, October 21, 2010

Temu Murni Tadika Al-Husna

Hari ni pergi ke Tadika Al-Husna untuk ambik result kakak
Jumpe je ngan cikgu,
"Nuryn tak ada masalah, semua ok..."
"Nuryn dapat nombor 1",sambung cikgunya lagi...
Alhamdulillah, syukur ke hadratNya...moga-moga keputusan kakak akan kekal begitu kendian hari malah minta2 lebih baik

No comments:

Post a Comment

Kenali anak - anak kesayangan

Buah hati kesayangan bonda.
Nuryn Wardyna, Haqeem Najhan dan Nuryn Mastura

Nuryn wardyna

Aku bangun seperti biasa untuk bersahur apabila dikejutkan oleh emak. Dengan perut yang memboyot, aku pergi ke bilik air untuk memberus gigi dan membasuh muka. Suamiku pula tiada di rumah kerana masih menjalankan tugasnya di KLIA. Aku pula pulang lebih awal ke kampung untuk bersalin tambahan pula cuti sekolah. Selepas itu aku makan sahur bersama emak, adik-adikku, I’ah dan adik Ama serta Kak Nah dan suaminya. Perut ini rasa kurang berselera untuk menjamah hidangan pada pagi yang dingin itu.

Sementara menantikan waktu subuh, aku membaca al-quran lalu menunaikan solat setelah selesai azan yang berkumandang. Aku bermohon agar Allah memanjangkan umur kami semua selain berdoa agar kandunganku sihat dan selamat dilahirkan, apatah lagi ini merupakan bakal zuriatku yang pertama setelah menunggu lebih kurang 3 tahun.

Aku menyambung tidur kerana perut ini terasa kurang selesa. Sekejap-sekejap aku bangun untuk kencing. Emak yang melihat perubahanku menanyakan adakah masaku untuk bersalin sudah tiba tetapi aku menidakkannya kerana ‘due date’ aku masih tinggal lagi 2 minggu.Emak terdiam dan meneruskan kerjanya.

Lebih kurang jam 9 pagi, perut aku terasa sedikit memulas. Sekali lagi aku ke bilik air untuk melepaskan hajat tetapi tidak berhasil. Keadaanku itu menyebabkan emak semakin bimbang dan menyuruhku pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Aku tidak membantah kerana kebetulan suami Kak Nah juga ingin pergi ke HKB untuk membuat pemeriksaan kakinya. Setelah berkemas, kami bertolak ke KB menaiki kereta Kak Nah.

Sesampainya di HKB, aku mendaftar diri di Pusat Bersalin. Aku dikejutkan dengan satu berita yang menyatakan aku terkena darah tinggi. Aku seakan tidak percaya kerana baru tiga hari lepas, aku menjalani pemeriksaan kandungan di Klinik Salor, dimana darahku masih lagi stabil. ‘Nurse’ yang merawatku mengesahkannya lalu menyuruhku berbaring di atas katil untuk diperiksa oleh doktor bertugas. Setelah diperiksa, Doktor Syed cuba menyuntik jarum ke lenganku untuk memudahkan urusan memasukkan air, namun tidak berjaya. Akhirnya beliau menyuruhku berehat di dalam wad sementara menunggu saat bersalin sampai.

Di dalam wad, aku ditemani ibu tersayang. Aku merasa sedikit gementar apabila melihat pelbagai ragam wanita yang hampir bersalin. Ada yang terpaksa berjalan ke sana sini untuk menghilangkan kesakitan, tidak kurang pula yang berkerut-kerut kening menahan kesakitan sementara menunggu dimasukkan ke wad bersalin.Aku pula bersembang dengan ibu kerana diri ini masih tidak merasa apa-apa kesakitan. Ibu pula menyuruhku meminum air bunga kembang semangkuk untuk menudahkan proses bersalin nanti.

Besoknya, aku dikejutkan oleh ibu untuk bersahur kerana menurutnya aku masih wajib berpuasa kerana belum masanya untuk bersalin. Tepat jam 7.00 pagi, ‘nurse’ memanggilku untuk memeriksa kandunganku. Setelah diperiksa, doktor menyarankan supaya aku di ‘induce’ untuk menyelamatkan kandungan yang mungkin berisiko nanti. Dengan hati yang tenang, aku menerima cadangan tersebut walaupun ibu merasa berat hati dengan keputusanku itu kerana menurutnya, suamiku belum sampai dari KL kerana baru berlepas dari ‘airport’ Subang. Lagipun, setahunya, cara tersebut amat menyakitkan.

Tepat jam 7.30 pagi, aku dimasukkan ke wad bersalin. Selama dua jam di dalam wad itu, aku terkebil-kebil seorang diri kerana perutku masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk melahirkan.Apa yang aku dengar hanyalah jeritan demi jeritan wanita-wanita yang ingin melahirkan.Ini membuatkan jantungku berdegup semakin kencang mungkinkah nasibku sama seperti mereka. Tiba-tiba seorang doktor datang lalu memecahkan ketubanku serta mengurut-ngurut untuk mengeluarkan air dari dalam perutku. Saat itu aku merasakan bahawa masaku untuk bersalin telah tiba. Dengan tidak semena-mena perutku terasa begitu sakit. Aku ingat itulah masanya untuk aku melahirkan tetapi tidak semudah yang disangka. Kesakitan menyebabkan aku diberi suntikan untuk mengurangkannya kerana menurut ‘nurse’, “jalan” masih belum terbuka dan aku mungkin akan bersalin malam nanti. Ya Allah, aku terkejut dengan kenyataan tersebut kerana perutku memulas-mulas tanpa henti.

Jam di dinding bergerak tanpa henti. Sakitnya tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Beberapa kali ‘nurse’ datang melihat keadaanku tetapi mereka mengatakan masa untukku bersalin masih belum tiba. Aku terus berdoa serta membaca ayat-ayat yang biasa aku baca sepanjang proses kehamilan bagi memudahkan kelahiran nanti. Azan maghrib menandakan waktu berbuka puasa telah tiba. Semua ‘nurse’ yang bertugas pergi ke bilik makan untuk berbuka puasa. Aku berasa ingin membuang air besar lalu pergi ke tandas, walaupun sebelum itu, para pesakit sudah diingatkan agar tidak pergi ke tandas seorang diri. Setelah beredar dari tandas, darah keluar dengan banyaknya. Dengan susah payah,aku segera naik ke atas katil lalu memanggil ‘nurse’ yang kebetulan melalui tempat tersebut. Aku berjaya melahirkan cahaya mataku yang pertama, tepat jam 7.30 malam pada 25 Disember 1998, iaitu 12 hari awal daripada tarikh sebenar jangkaan. Hati ini terasa sangat gembira dengan kedatangan “orang baru” bersempena sambutan Hari X’mas itu. ‘Nurse’ segera mengangkat bayi lalu mengunjukkannya kepadaku sambil bertanyakan jantina anakku. Aku tersenyum lalu mengatakan ‘perempuan’.

Aku ditolak semula ke wad pada jam 11.30 malam. Suami dan kaum keluargaku sangat bimbang kerana terlalu lama aku berada di dalam wad bersalin, kalau-kalau sesuatu yang tidak baik berlaku… Kemunculanku bersama bayi baru seberat 2.75kg membuahkan senyuman di muka suamiku, ibu, abang dan adik-adikku yang telah lama menunggu di luar wad tersebut.

Akhirnya, kisah kelahiran NURYN WARDYNA BT. HALIM ANUAR berjaya aku coretkan di sini untuk ingatan ZURIATKU semua. ALHAMDULILLAH,AMIN.

Haqeem Najhan

Anak Kedua
Aku bangun seperti biasa untuk bersahur apabila dikejutkan oleh emak. Dengan perut yang memboyot, aku pergi ke bilik air untuk memberus gigi dan membasuh muka. Suamiku pula tiada di rumah kerana masih menjalankan tugasnya di Kerteh Airport. Aku pula pulang lebih awal ke kampung untuk bersalin tambahan pula cuti sekolah. Selepas itu aku makan sahur bersama emak, adik-adikku, serta Kak Nah dan suaminya. Perut ini rasa kurang berselera untuk menjamah hidangan pada pagi yang dingin itu. Sementara menantikan waktu subuh, aku membaca al-quran lalu menunaikan solat setelah selesai azan yang berkumandang. Aku bermohon agar Allah memanjangkan umur kami semua selain berdoa agar kandunganku sihat dan selamat dilahirkan nanti. Aku juga bermohon agar bakal anakku nanti lelaki kerana Kak Longnya terlalu inginkan ‘baby boy’. Selesai menjalankan tanggungjawab terhadapNya, aku cuba untuk tidur semula tetapi perutku terasa kurang selesa. Aku pergi ke tandas untuk ‘melepaskan hajat’ tetapi Cuma buang air kecil sahaja. Setengah jam kemudian, aku sekali lagi pergi ke tandas lalu ditegur ibu yang kebetulan sedang membersihkan bilik mandi. Aku mengatakan bahawa perutku terasa memulas dan tidak mungkin bersalin lagi kerana tarikh jangkaan masih lagi 10 hari. Ibuku berasa tidak sedap hati lalu menyuruhku bersiap untuk ke hospital kerana katanya masaku mungkin sudah sampai. Aku bertolak ke Hospital KB pada jam 9.00 pagi bersama ibu dan adikku serta suaminya yang memandu kereta. Dalam perjalanan, perutku terasabegitu sakit seperti hendak bersalin. Ibu menyabarkanku dan menyuruhku supaya bertahan sehingga sampai di hospital. Aku terasa tidak berdaya menahan kesakitan lalu menggenggam tangan ibuku dengan kuat sekali. Kesakitanku terasa kurang setibanya di hospital. Aku mendaftarkan diri di kaunter wad lalu di bawa ke katil untuk diperiksa oleh ‘nurse’ yang bertugas. Setelah diperiksa, ‘nurse’ mendapati aku sudah 'bersedia' untuk melahirkan anak. Mereka segera menolakku ke wad bersalin. Keadaan tersebut menyebabkan aku terlupa untuk memanggil ibuku yang berada di luar wad untuk turut sama menemaniku. Hanya beberapa minit kemudian, iaitu pada jam 10.30 pagi, aku akhirnya berjaya melahirkan seorang bayi lelaki seberat 2.65kg yang ku beri nama HAQEEM NAJHAN. Alhamdulillah.

Nuryn Mastura

Anak ketiga; Buah hati pengarang jantung bonda...
Tanggal 31/08/04 aku dan keluarga bertolak ke KL untuk mengambil kunci rumah di Bandar Seri Ehsan yang kami beli 4 tahun lepas (bulan Mac 2000). Urusan pengambilan kunci dan penyerahannya siap pada 01/09/04. Petang itu kami bertolak pulang ke Paka dan sampai di Paka lebih kurang jam 8 malam. Aku menelefon mek untuk memberitahu bahawa kami telah pergi ke KL atas urusan rumah tersebut. Malam itu aku tidak lena tidur, mungkin terlalu letih kerana “berjalan” dalam keadaan yang sarat mengandung. Aku berulang alik ke tandas kerana kerap kencing. Lebih kurang pukul 5 pagi aku terasa bahawa sudah sampai masanya aku nak bersalin. Aku terus mengejutkan suamiku untuk membawaku ke hospital. Suamiku yang dalam keadaan “kemamar” terus bangun lalu mandi dan bersedia untuk mengerjakan sembahyang subuh. Aku tergelak lalu menyatakan bahawa aku sudah hendak bersalin.Dia terkejut kerana aku tidak memberitahunya yang aku sakit perut. Kami menghantar anak-anak ke rumah Kak Tie di Limbong lalu terus ke Hospital Dungun.Apabila tiba di sana iaitu lebih kurang pukul 5.45, bidan terus memeriksa perutku dan mendapati aku sudah sedia untuk bersalin. Aku dimasukkan ke wad bersalin dengan serta merta. Suamiku cuba untuk masuk bersama tetapi ditegah kerana terdapat seorang pesakit yang menghadapi masalah dalan bilik bersalin tersebut. Lebih kurang pukul 6.50 aku merasakan perutku terasa amat sakit lalu memanggil bidan yang bertugas. Bidan bersedia untuk menyambut kelahiranku lalu memakai sarung tangannnya. Belum sempat bidan tersebut medekatiku, aku merasakan satu tolakan yang kuat daripada perutku dan tepat jam 7 pagi, NURYN MASTURA menjengah dunia…syukur ke hadrat Ilahi kerana bertambah seorang lagi umat Islam.